Wednesday, October 9, 2013

DASAR DAN PELAN INDUK KECEKAPAN TENAGA NASIONAL: MENGAPA MASIH BERTANGGUH?


Kerap kali rakyat Malaysia ditekankan tentang kesan-kesan subsidi dalam sektor tenaga terhadap ekonomi negara dalam jangka masa panjang. Sebagai rakyat yang majoritinya berpendidikan sama ada diperingkat sekolah atau peringkat universiti, kebimbangan terhadap kebergantungan terhadap subsidi boleh difahami namun persoalannya ialah, adakah semua pilihan dan langkah-langkah yang boleh dilaksanakan telah dipertimbangkan sehalus-halus sebelum tindakan pengurangan subsidi dilaksanakan demi kebaikan ekonomi negara?

Untuk memperbaiki ketirisan dan kelemahan-kelemahan kerajaan dalam proses-proses pentadbiran dan operasi  adalah lebih sukar tetapi untuk mengatasi pembaziran wang ketika mengggunakan tenaga secara membazir atau tidak cekap tenaga adalah sesuatu yang lebih praktikal untuk diperbaiki dalam tempoh masa yang dirancangkan.

Setiap unit tenaga yang dijimatkan akan menjadi satu unit RM yang menjadi pendapatan dan boleh dibelanjakan untuk pelbagai tujuan lain. Selain daripada itu, setiap unit tenaga yang dijimatkan juga akan menjimatkan satu unit RM jumlah subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan atau dalam erti kata lain, lebih banyak penjimatan, lebih kurang perbelanjaan oleh kerajaan untuk subsidi bahan api.

Berikut adalah intipati dan ringkasan maklumat yang dibentangkan oleh pihak  Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA)pada seminar anjuran MASHRAE pada 25 April 2013 di Kuala Lumpur.

Ringkasan daripada apa yang dibentangkan ialah:
  • Pelan Induk Kecekapan Tenaga Nasional ialah satu pelan induk  untuk menjimatkan penggunaan tenaga negara  dalam tempoh  10 tahun;
  • Sasaran yang ditetapkan ialah untuk mengurangkan penggunaan tenaga negara sebanyak 5.6% (tahun perbandingan tidak dinyatakan);
  • Jumlah penjimatan kewangan yang boleh dicapai dari segi bil elektrik ialah sebanyak RM14.627 billion ringgit(secara purata RM1.46 billion setahun). Saya menjangkakan kiraan adalah berdasarkan kadar tarif elektrik sekarang. Penjimatan akan lebih banyak jika kadar tarif elektrik naik pada masa akan datang;
  • Pelan induk tersebut akan menumpukan kepada tiga sektor utama iaitu industri, bangunan dan kelengkapaan elektrik;
  •  Hanya sebanyak RM987 juta diperlukan dalam tempoh masa 10 tahun tersebut iaitu sebanyak RM98.7 juta setahun sahaja.


Dalam jawapan kepada soalan di Parlimen pada bulan Jun 2013 mengenai status pelan tindakan tersebut, berikut ialah jawapan pihak KeTTHA sekali lagi secara ringkas:
  •  Dasar kecekapan tenaga nasional yang dirangka melalui Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Nasional atau National Energy Efficiency Master Plan(NEEMP), dengan izin kini dalam peringkat semakan akhir. Pelan tindakan ini akan diangkat untuk kelulusan oleh kerajaan selewat-lewatnya sebelum penghujung suku ketiga tahun ini(2013)
  •  Pelan tindakan yang dirangka untuk tempoh sepuluh tahun ini  merangkumi tiga sektor iaitu industri, komersil dan perumahan dan sasaran penjimatan tenaga elektrik dalam pelan tindakan ini jika dipecahkan mengikut jangka masa pendek iaitu 3 tahun sebanyak 2,774GigaWattjam(GWj), jangka sederhana iaitu 6 tahun sebanyak  14,840GWj dan jangka panjang 10 tahun sebanyak 50,594 GWj;
  • Penjimatan yang disasarkan oleh Pelan Tindakan tersebut bernilai RM14.6 billion berdasarkan kadar tariff elektrik semasa;
  • Pelan tindakan ini juga disasar dapat mengurangkan permintaan bekalan elektrik sebanyak 5.6% pada akhir tahun ke-10;
  • Pengurangan ini dapat menanggguhkan keperluan untuk membina janakuasa baru yang dianggarkan dalam lingkungan 3,600 Mega Watt(3.6GW).


Manakala berikut pula ialah  ringkasan maklumat yang dibentangkan oleh pihak KeTTHA pada bulan Mac tahun 2011 ketika sesi bengkel untuk membincangkan Terms of Reference untuk menggubal akta kecekapan tenaga dan penjimatan tenaga  di Hotel Marriot Putrajaya yang dihadiri oleh pelbagai agensi, para profesional dan pakar serta pemain-pemain industri. Maklumat yang sama juga dikongsi sekali lagi pada bengkel dan seminar penggubalan akta yang sama pada bulan November 2011 di Hotel Palace of Golden Horses, Serdang.

Dengan melaksakankan p elan induk kecekapan tenaga, tambahan penjimatan selain daripada penjimatan daripada bil elektrik dalam tempoh 10 tahun  ialah seperti berikut:
  • Kos pembinaan janakuasa baru sebanyak sehingga RM16.6 billion boleh dielakkan
  • Penjimatan kos bahan api  untuk penjanaan tenaga elektrik sebanyak RM22.8 billion untuk gas dan RM1.4 billion untuk arang batu;
  • Penjimatan perbelanjaan kerajaan untuk kos subsidi gas sebanyak RM15.87billion
  • Jumlah penjimatan yang boleh dicapai juga boleh mengelakkan penjanaan kapasiti tenaga baru yang diramalkan diperlukan sebanyak lebih kurang 3.6GW menjelang tahun 2020 oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pembekalan Elektrik dan Tarif.



Rakyat Malaysia juga sering dimomokkan beberapa tahun kebelakangan ini dengan keperluan Malaysia  untuk mempertimbangkan penjanaan tenaga  dengan sumber nuklear dan pada masa yang sama loji-loji janakuasa yang baru diluluskan untuk dibina. Pada masa yang sama langkah-langkah yang strategik untuk melaksanakan dasar kecekapan tenaga negara yang akan meminimumkan pembaziran sumber-sumber tenaga dengan penggunaan yang lebih cekap oleh para pengguna masih tidak diberi perhatian yang sewajarnya.

Negara Thailand telah berjaya mengurangkan permintaan tenaga negara sebanyak lebih daripada 15% dalam tempoh 10 tahun yang lepas manakala negara Jepun telah berjaya mengurangkan permintaan tenaga sebanyak lebih kurang 30% daripada tahun 1970-an dengan melaksanakan dasar kecekapan tenaga dan penggubalan dan pelaksanaan undang-undang kecekapan tenaga  terutamanya untuk para pengguna tenaga intensif seperti di sektor-sektor  industri dan bangunan.


KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, impak penjimatan kos tenaga daripada pelaksaaan pelan induk kecekapan tenaga dalam masa 10 tahun berdasarkan kadar tarif elektrik sekarang ialah penjimatan kos tenaga sebanyak RM30.497 billion melalui penjimatan bil elektrik sebanyak  RM14.627 billion dan penjimatan subsidi gas untuk loji janakuasa baru  sebanyak RM15.87 billion masing-masing.

Sementara itu dalam tempoh masa yang sama, perbelanjaan yang boleh dielakkan oleh syarikat penjana-penjana  tenaga seperti TNB dan  Penjana Bebas Swasta ialah sebanyak sehingga  RM16.6 billion untuk pembinaan loji-loji janakuasa baru dan sebanyak RM22.8 billion untuk gas  dan RM1.4 billion untuk arang batu bagi kos-kos  bahan api untuk penjanaan.
 
Jadi, jumlah keseluruhan penjimatan atau impak yang boleh dicapai ialah sebanyak lebih kurang RM71  billion dalam tempoh 10 tahun di mana kerajaan hanya perlu membelanjakan sebanyak rm987 juta sahaja dalam tempoh masa yang sama.

Secara purata, jumlah wang yang boleh dijimatkan setiap tahun dalam tempoh 10 tahun tersebut ialah sebanyak lebih kurang RM7 billion dan akan menjadi lebih banyak sekiranya kadar tarif elektrik dan harga bahan api seperti gas dan arang batu naik dalam tempoh masa yang sama.

Cuba sama-sama kita bayangkan berapa banyak perkara yang boleh dilakukan dengan jumlah tersebut di mana salah satu daripadanya, kerajaan tidak perlu menaikkan kadar tarif elektrik atau kenaikan hanya pada kadar paling minimum agar tidak membebankan rakyat Malaysia.


APA SEBENARNYA?

Pihak kerajaan seolah-olah tidak mempertimbangkan langsung dapatan daripada kajian yang telah dijalankan oleh kerajaan sendiri melalui KeTTHA dalam dasar-dasar tenaga yang akan datang di mana masih terdapat pilihan-pilihan yang lebih praktikal dengan kos yang perlu dibelanjakan oleh pihak kerajaan yang lebih murah iaitu kurang daripada RM1 billion dalam 10 tahun berbanding berbillion yang dibelanjakan  setahun untuk subsidi sektor tenaga dan pengguna.

Antara perkara yang paling mengecewakan JUGA ialah pihak KeTTHA telah pun membelanjakan sebanyak hampir RM2 juta untuk menjalankan kajian dan menyediakan pelan tindakan tersebut sejak tahun 2009 dan telah selesai dalam tahun 2011 namun masih berdolak-dalih untuk memanjangkan kepada pihak kerajaan untuk pertimbangan.

Selain daripada itu, pihak KeTTHA juga telah mengenepikan langsung hampir semua pendapat dan pandangan daripada semua pihak yang pernah terlibat dalam kajian dan pembangunan pelan tindakan tersebut dengan tidak memberi ruang untuk perbincangan secara objektif dan terperinci atau menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan secara rasmi dan tidak rasmi.


Kenapa masih bertangguh?

Apakah ada agenda yang rakyat Malaysia tidak tahu tentang sikap pihak kementerian bertanggungjawab yang asyik berdolak-dalih tentang pelan induk kecekapan tenaga negara tersebut?

Kenapa masih bertangguh bila ia melibatkan kepentingan kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta negara?






No comments:

Post a Comment